|
Cikgu,
Saya tidaklah begitu pandai
mengarang bait kata yang indah. Atau menulis madah puitis buat cikgu. Surat
ini saya tulis bertujuan untuk melahirkan rasa terima kasih saya pada cikgu.
Cikgu adalah seorang guru yang amat saya hormati dan sanjungi. Cikgu adalah
salah seorang insan yang setia di sisi, memberi sokongan dan galakan ketika
semua orang memandang serong pada saya. Cikgu faham maksud saya bukan?
Cikgu,
Saya tiada hadiah mahu diberikan
pada cikgu sempena Hari Guru ini. Cuma surat ini saja yang mampu saya
hulurkan pada cikgu. Keluarga saya tidak seperti orang lain. Saya tidaklah
sekaya Izham yang beriya-iya mahu hadiahkan sepasang baju kurung buat cikgu.
Saya juga tidaklah semewah Atira yang mahu hadiahkan seutas jam tangan pada
cikgu. Kadangkala saya terkilan juga cikgu. Cikgu dah banyak membantu saya.
Memberi nasihat dan tunjuk ajar sehingga saya jadi seperti hari ini. Tapi
saya tiada apa yang boleh diberi pada cikgu.
Cikgu,
Ketika saya hanyut dengan perasaan
teruja, tiada siapa yang mahu menahan saya dari terus menghabiskan masa
bersuka-ria. Hanya cikgu yang berani menegur kealpaan saya. Saya tahu saya
merupakan pelajar yang nakal di sekolah. Cikgu Kamal, guru disiplin bermata
sepet itu sudah naik muak dengan wajah saya yang hampir setiap hari
bertandang ke biliknya. Badan saya sudah lali dengan rotan. Telinga saya
sudah pekak dengan makian. Bagi saya, cikgu-cikgu ini tidak punya hak untuk
menyekat kebebasan saya. Dengan siapa saya nak bergaul, apa saya nak buat,
itu hak saya, kebebasan saya.
Saya tahu saya lahir dari keluarga
yang pincang. Emak dan ayah tidak sehaluan. Kalau boleh saya tidak mahu
langsung pulang ke rumah. Menyakitkan hati dengan sumpah-seranah ayah dan
emak. Mereka sendiri tidak pernah ambil berat tentang saya. Yang mereka tahu,
bertengkar tentang duit yang tak pernah habis diperkatakan. Saya sendiri naik
malu bila cikgu datang ke rumah ketika ayah dan emak saya sedang bergaduh
sebulan lepas. Waktu itu cikgu datang kerana risau saya sudah tiga hari tidak
ke sekolah. Bukan saya tidak mahu ke sekolah, tapi bagi saya, kedatangan saya
ke sana tidak membawa apa-apa kepentingan pun. Saya hanyalah seorang pelajar
yang terkenal dengan sikap suka ponteng dan suka mencari pasal.
Semua cikgu sudah putus asa dengan
kenakalan saya tapi cikgu... Cikgu yang tidak pernah mengalah walau banyak
kali saya sakiti hati cikgu. Saya pernah calarkan kereta cikgu, bocorkan
tayar kereta cikgu, mempersendakan cikgu ketika cikgu sedang mengajar tapi
cikgu hanya senyum dan terus senyum. Saya malu cikgu, malu!
Saya tak pernah anggap cikgu itu
penting dalam hidup saya. Sedangkan emak dan ayah pun tidak pernah sedar
kehadiran saya, apatah lagi seorang cikgu. Kawan-kawan pun takut hendak dekat
dengan saya kerana saya ini mudah sangat naik darah. Tapi cikgu, tidak gentar
langsung ketika memberi teguran dan nasihat pada saya.
Cikgu,
Saya pernah hampir-hampir mahu
menampar cikgu ketika cikgu meleraikan pergaduhan saya dengan Fared. Dia
menghina keluarga saya cikgu. Dikata ayah saya itu kaki judi. Ya, memang ayah
saya berjudi tapi yang saya marah apabila dikata emak saya menjual tubuh
untuk bagi saya dan adik perempuan saya makan. Itu fitnah cikgu!
Seburuk-buruk emak saya, dia tidak pernah lakukan kerja terkutuk itu. Walau
emak saya selalu pulang lewat, selalu tak ada di rumah, saya tahu dia keluar
mencari kerja bagi menampung hidup saya dan adik. Emak mengambil upah
membasuh pakaian dan mengemas rumah. Malamnya emak bekerja sebagai tukang
cuci di pasaraya berhampiran. Emak saya bukan seperti apa yang diperkatakan
Fared. Hati saya sakit cikgu. Sangat sakit. Fared sengaja memalukan saya di
depan kawan-kawan. Dia berdendam dengan saya cikgu sebab saya pernah laporkan
pada Cikgu Kamal ketika nampak dia merokok di stor sekolah.
Mujur cikgu sempat mengelak waktu
itu. Jika tidak, saya tak akan dapat maafkan diri saya kerana telah menyakiti
seorang guru yang tidak jemu-jemu memberi nasihat dan sokongan pada saya.
Cikgu,
Saya masih ingat soalan yang cikgu
tanyakan pada saya ketika cikgu mengajar dua minggu lepas. Cikgu tanya
pada saya, apa yang saya akan jadi sepuluh tahun akan datang? Terus-terang
saya terpempan Tidak pernah saya jangkakan soalan sebegitu. Ya, saya tidak
punya jawapan kala itu tapi sekarang saya sudah ada matlamat yang perlu saya
capai. Matlamat yang cikgu semai dalam diri saya sejak soalan itu ditanya.
Cikgu,
Saya selalu lihat cikgu tersenyum
walau pelajar kelas langsung tidak menumpukan perhatian ketika cikgu
mengajar. Cikgu tetap masuk ke kelas, memberi latihan dan nasihat. Sedikit
pun cikgu tidak pernah meninggikan suara pada saya dan rakan-rakan lain. Saya
tertanya-tanya, apa yang membuatkan cikgu masih tegar mengajar walau selalu
diperlekeh.
Melihat keazaman dan semangat
cikgu, hati saya tersentuh. Terharu kerana cikgu masih menerima saya, masih
setia mengajar bukan sahaja berkaitan dengan silibus pelajaran tetapi juga
mengajar bagaimana hendak melalui hidup dengan positif.
Saya tahu kebanyakkan cikgu pandang
saya sinis. Seorang pelajar nakal yang seringkali membuat onar di sekolah.
Apatah lagi saya seorang gadis. Ya, seorang gadis yang kenakalannya melebih
pelajar lelaki. Suka bergaduh dan mencari pasal. Banyak kali cikgu tegur
tentang kelakuan saya tapi saya tidak boleh ubah kekasaran saya dalam sekelip
mata.
“Awak bukanlah nakal sebenarnya.
Awak cuma berlagak tabah untuk melindungi diri awak sedangkan dalam hati awak
sama seperti perempuan lain. Tetap ada lembutnya,”
Kata-kata cikgu benar-benar menusuk
seperti anak panah laju yang baru dilepaskan dari busurnya. Menikam tepat ke
dasar hati. Ya, saya bersikap kasar untuk menutup kekusutan jiwa. Saya mahu
lepaskan tekanan dan sekolah menjadi tempat saya menyalurkannya.
Cikgu,
Alhamdulillah, kebelakangan ini
ketenangan mula mendapat tempat dalam diri. Ayah sudah ditangkap polis ketika
berjudi secara haram di sebuah restoran tertutup. Sekarang, emak tidak perlu
risau dimarah atau diherdik ayah lagi. Cuma, emak tampak sugul, mungkin
risaukan ayah yang meringkuk di penjara. Walau apa pun, dia tetap suami
kepada emak saya, tetap ayah yang membesarkan saya.
Saya juga ada membantu emak dengan
belajar menjahit baju. Dah lama saya nak belajar cuma tidak berkesempatan.
Saya mahu meringankan beban emak saya. Saya tak nak emak bekerja malam lagi.
Mujur adik perempuan saya masih kecil, baru hendak belajar bercakap walaupun
pelat. Akan saya didik baik-baik agar tidak melakukan kesilapan seperti yang
telah saya lalui.
Cikgu,
Tahu apa matlamat saya? Saya mahu
dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan PMR tidak lama lagi dan
seterusnya SPM. Kemudian, saya mahu jadi sama seperti cikgu. Cikgu yang tidak
memilih kasih dan ambil berat akan perihal anak muridnya. Mulai hari ini saya
akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat saya itu. Dengan
sokongan dan dorongan dari cikgu, mudah-mudahan.
Di kesempatan ini, saya ingin
mengucapkan “Selamat Hari Guru”, istimewa buat cikgu yang banyak mengajar
saya erti hidup dan membantu saya berubah menjadi insan yang lebih baik. Saya
sayang cikgu dan doakan agar hidup cikgu sentiasa gembira dan bahagia.
Sekian.
Salam hormat,
Fadheela Husna
15 Mei 2009
10.30 malam
* * * * *
Manik-manik putih mula berladung di
kolam mata. Perlahan-lahan diseka dengan jemari kanannya. Wajah Fadheela
terbayang di minda. Alhamdulillah, anak muridnya yang seorang itu sudah
menemui matlamat hidupnya. Sebagai guru kelas, adalah menjadi tanggungjawab
untuk menjaga kebajikan anak murid dalam jagaannya. Surat yang dicoret dengan
tinta biru itu dilipat kemas lalu dimasukkan semula ke dalam sampul corak
bunga kecil itu. Surat itu merupakan hadiah yang amat bermakna sempena Hari
Guru tahun ini.
Salina bangun dari sofa lalu
menutup televisyen. Dia mahu tidur awal malam ini. Esok, dia akan bangun pagi
untuk memulakan tugasnya seperti biasa. Tugas mendidik anak bangsa agar
menjadi insan yang berguna, untuk agama, nusa dan negara.
::TAMAT::
Nukilan,
Ridhwan Zainudin
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan