|
Kau tahu, tema pertandingan PCB# 4 kali ini memang betul-betul
menyesakkan dada aku. Apa? Temanya tentang sukan dan permainan? Kau cuba
pandang aku? Cuba tengok betul-betul. Aku ni ada rupa macam atlet
kebangsaan ke? Hendak jadi teman wanita penjaga gol pasukan bola sepak
Malaysia pun aku tak pernah mimpi.
Kalau hendak diikutkan, pertandingan ni bukanlah pertandingan secara
paksa pun. Sesiapa pun boleh sesuka hati hendak masuk atau tidak. Tidak ada
hukuman kerahan tenaga angkat batu sambil berlari keliling padang sebanyak
sepuluh pusingan jika tak mahu masuk. Suka hati kau, suka hati aku.
Terserahlah.
Tapi...tapi tema kali ini memang mencarik-carik hati aku. Jadi aku
perlukan ubat untuk redakan sedikit kesakitan hati ini. Maka, aku merasakan
ubat terbaik setakat ini adalah dengan sama-sama menjerumuskan diri dalam
pertandingan ini. Aku tak mahu menang (ayat coverline bajet
suci), aku cuma mahu ubat sahaja. Dalam diam-diam aku mengakui kebijaksanaan
si pencetus idea (yang aku sudah lupa namanya, maaf).
***
Ini cerita lama. Kira-kira lima belas tahun yang lalu. Ya, aku masih
kecil lagi. Masih sekolah rendah. Kau tahu, lima belas tahun yang lalu (atau
mungkin beberapa tahun sebelumnya) ada satu permainan yang sangat popular dan
disenarai pendek sebagai salah satu permainan diva di sekolah kami. Permainan
itu adalah batu seremban. Budak-budak perempuan tidak kira dari golongan mana
pun akan bermain permainan ini. Sesiapa yang tidak tahu cara-cara bermain
batu seremban, mereka semua secara automatik akan dilabel sebagai loser.
Kau tahu, gelaran loser untuk budak-budak sekolah rendah
adalah satu bentuk penderaan mental yang dahsyat. Boleh buat gila.
Betapa hebatnya penangan batu seremban di sekolah kami. Janganlah kau
cuba-cuba hendak pandang rendah. Silap haribulan kau boleh dipulaukan.
Batu seremban yang telah menjadi taraf selebriti di sekolah kami ini
menyebabkan ia bukan sahaja dimainkan oleh budak-budak perempuan sahaja.
Budak-budak lelaki pun tidak segan-silu untuk turut serta dalam permainan
ini. Apa yang hendak dimalukan? Nama pun budak-budak sekolah rendah.
Kadang-kadang kami akan buat pertandingan tidak rasmi sesama sendiri. Tiada
hadiah. Saja suka-suka. Lelaki vs perempuan.
Aku adalah antara wakil perempuan yang akan selalu diajak untuk turut
serta dalam pertandingan ini. Aku bukan hendak sangat. Aku main batu seremban
ni saja-saja suka sementara tunggu cikgu masuk kelas atau semasa rehat bila
aku tidak ada selera makan sebab Abang Johan tak jual nasi lemak hari itu.
Mereka, kawan-kawan perempuan aku beriya-iya sangat suruh aku turut
serta dalam pertandingan ini disebabkan oleh satu alasan yang kukuh.
Aku adalah anak murid kepada Mariah. Mariah adalah murid Tahun Enam di
sekolah kami dan merangkap Penolong Ketua Pengawas. Selain meraih populariti
daripada jawatannya itu, dia juga sangat terkenal sebagai seorang pemain batu
seremban yang handal di sekolah kami. Dia pernah beberapa kali menjadi juara
dan kejuaraannya sukar sekali untuk digugat. Aku jadi anak muridnya pun secara
tidak sengaja.
Ia berlaku pada waktu itu. iaitu setengah jam sebelum waktu
persekolahan bermula. Aku berada di kantin sekolah. Lengang. Jadi, aku yang
pada masa itu baru berjinak-jinak ke alam batu seremban mula mengeluarkan
batu seremban buatan ibuku dari kocek baju kurung. Main seorang diri.
Pang...pang...pang...!
Macam itulah lebih kurang bunyinya. Untuk pengetahuan, itu adalah
bunyi aku menepuk meja secara ganas yang tidak disengajakan semasa sesi
melambung dan menangkap buah seremban yang tidak satu pun aku dapat sambut.
Hodoh bunyinya, hodoh lagi pemandangan tersebut.
PANG...!
Dan itu pula adalah bunyi tempeleng yang pipi kiriku aku terima dari
tangan kanan Mariah tatkala dia melihat kehodohan aksi aku bermain batu
seremban. Sakit? Memang sakit tapi mana satu lagi sakit. Tempeleng Mariah
atau digelar loser?
Mariah tidak salah dalam hal ini. Malah aku semacam mendapat satu
pencerahan melalui tempelengnya itu. maka, sejak daripada itu aku pun menjadi
anak muridnya. Mariah memang guru yang bagus. Dipendekkan cerita
lama-kelamaan aku menjadi salah seorang yang hebat dalam seni permainan batu
seremban di sekolah kami. Terima kasih, Mariah.
***
Hendak dijadikan cerita, tersebarlah satu pertandingan tidak rasmi
yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Seperti biasa, pertandingan
melibatkan geng budak lelaki dan geng budak perempuan. Perlu diingatkan di
sini bahawa pertandingan tersebut tidak langsung melibatkan perkara-perkara
sampingan termasuklah unsur seksis. Malah, kami selaku pemegang gelaran
budak-budak sekolah rendah tidak pernah langsung tahu akan kewujudan
perkataan tersebut. Pertandingan adalah kerana semangat kecintaan kepada seni
permainan batu seremban semata-mata. Percayalah!
Seperti biasa juga, akulah yang menjadi ayam tambatan bagi budak-budak
perempuan di sekolah kami. Bukan mahu menunjuk kehebatan. Seperti aku katakan
tadi, aku bermain secara suka-suka tetapi setelah didesak dan dipujuk serta
dibelanja sebungkus nasi lemak Abang Johan sebagai pembakar semangat, aku
menerima juga pelawaan itu. lagi pula, aku rasa elok juga aku memanfaatkan
apa yang diajar oleh Mariah. Selain daripada itu, mereka mahu aku kalahkan
Firdaus.
Firdaus, aku tidak ingat sama ada itu nama sebenar ataupun tidak.
Maaflah, aku memang teruk dalam mengingati nama orang. Tetapi aku sangat
ingat akan susuk tubuhnya. Firdaus sama tinggi dengan aku. Kulit gelap
sedikit daripada aku dan dia seorang pengawas. Ketua Pengawas. Ketua kepada
Mariah. Firdaus adalah juara bertahan bagi budak-budak lelaki dalam permainan
batu seremban ini. Sama seperti Mariah, kehebatannya sukar digugat.
Oh ya, Mariah tidak mahu bertanding. Katanya dia tidak mahu
menimbulkan perasaan kurang senang di antara dia dan Firdaus selepas
pertandingan berakhir nanti. Maklumlah, mereka berdua sentiasa perlu bekerjasama.
***
Masa pun tiba. Tempat, tentulah di kantin sekolah pada waktu rehat.
Hari itu, makanan di kantin sekolah kurang laku. Maklumlah, ini perlawanan
besar. Selera makan harus ditolak ke tepi dahulu.
Satu kumpulan ada tiga orang. Geng budak perempuan terdiri daripada
Juriah, Zulaika dan aku. Geng budak lelaki terdiri daripada Fazli, Zaid dan
Firdaus.
Pertandingan dimulai dengan Juriah yang berlawan dengan Fazli. Aku tak
tahu kenapa geng budak lelaki perlu ambil si Fazli ni. Main tunggang-langgang
dan tidak ada gaya langsung. Sekadar mencukupkan ahli sahaja. Jadi, Juriah
menang mudah.
Pusingan kedua adalah di antara Zulaika dan Zaid. Zulaika bolehlah aku
kategorikan sebagai pemain yang biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang menang,
kadang-kadang kalah. Kami mengambil dia sebab dia tidak pernah putus asa. Dia
ada sikap kesukanan yang tinggi di mana dia tidak melenting bila kalah. Dia
senyum dan senyum sahaja. Dan senyumnya jadi melebar pada hari itu. Paling
parah adalah apabila senyuman lebar Zulaika itu menjadi punca kekalahannya.
Kalau aku tahu jadi begitu, tidak akan aku pasangkan Zulaika dengan Zaid.
Rupa-rupanya Zulaika ada hati dengan Zaid. Sungguh... masalah hati memang
tidak boleh dicampur aduk dengan dunia pertandingan. Macam minyak dengan air.
Jadi, keputusannya adalah 1-1. Seri. Penentuannya kini adalah di
antara aku dan Firdaus. Aku mengaku aku sedikit gementar tetapi aku masih
lagi boleh mengawal keadaan. Lagipun aku tidak ada persoalan hati dengan si
Firdaus ini. Jadi, ia sepatutnya tidak menjadi satu halangan yang besar,
fikirku.
***
Setelah undian, Firdaus telah terpilih untuk memulakan aksinya
terlebih dahulu. Batu satu, dia melambung dan menyambut buah-buah seremban
dengan mudah. Ah, meluat! Aku menjeling.
Batu dua, kali ini dia memandang aku dengan senyum sinis. Aku
buat-buat tidak nampak. aku mahu gilirannya mati cepat, jadi aku dapat
mulakan aksi aku lalu menang. Mudah, bukan?
Batu tiga, melihatkan aku tidak endah dengan perang psikologi yang
diguna pakai olehnya , dia terus sahaja bermain. Nah, padan muka!
Batu empat, kali ini dia memandang aku semula. Mahu lihat reaksi aku
agaknya. Kali ini aku nekad memandangnya juga. Bagi chance la.
Tapi dengan pandangan tajam. Dia ingat dia seorang saja ke yang pandai main
psikologi. Aku pun! Tapi dia cuma tergelak kecil dengan ekspresi wajah aku.
Malu pula rasanya. Terus aku tertunduk pandang meja. Hati aku beritahu yang
Firdaus ni boleh tahan comel juga. Ah, sudah!
Batu lima, aku dah tak pandang siapa-siapa, hatta batu seremban yang
dilambung-lambugn oleh si Firdaus itu. Aku pandang meja. Akal aku sudah mula
beritahu bahawa ini bakal membawa malapetaka. Tapi aku cuba menafikannya. Aku
berlagak tenang. Berlagak saja, padahal dalam hati Tuhan sahajalah yang tahu
betapa dadaku sesak ketika itu.
***
Firdaus kalah pada batu yang kelima. Jadi, giliran aku pula akan
bermain. Seperti biasa, aku tarik nafas dalam-dalam dan kemudian
melepaskannya perlahan-lahan. Aku tak pandang Firdaus. Aku tak mahu pandang
dia sebab aku tahu dia sedang fokus pada aku ketika itu.
Batu satu, aku campak lima biji buah seremban di atas meja. Masa itu
budak-budak perempuan sudah bersorak sambil bertepuk tangan. Gila apa!
Budak-budak ni tak tahu ke sorakan mereka itu boleh buat jantung aku
tercabut. Macam biasa, aku lambung dan sambut buah seremban satu persatu.
Semuanya berjaya disambut dengan penuh gaya. Aku sudah mula tersenyum. Akal
aku mungkin salah. Ini bukan malapetaka. Mungkin petanda kepada kejayaan yang
gilang-gemilang.
Aku kembali mendapat semula keyakinan aku. Saat buah terakhir aku
lambung dan aku ingin sambut, mata aku entah macam mana rasa ditarik-tarik
mahu memandang ke arah Firdaus. Dan pada masa itulah segala-galanya berakhir.
Buah yang aku lambung tidak dapat aku sambut. Sebaliknya ia tercampak
betul-betul di mukanya.
Aahh...memang malapetaka!
Firdaus mengutip buah seremban yang tercampak ke mukanya itu. Lalu
memberinya kepadaku dan tentulah dengan satu senyuman yang entah aku tidak
tahu hendak tafsirkannya sebagai senyuman apa. Cuma hati aku sahaja yang
pandai-pandai memberi tafsiran bahawa itu senyuman nakal.
Bwuek!
Okeylah, aku mengaku memang comel pun senyumannya itu. Budak sekolah
rendah kan semuanya comel-comel belaka.
Keputusan pertandingan meletakkan geng budak lelaki menang dan kami
kalah. Habis.
***
Tapi untuk aku, cerita ini belum habis. Selepas lima belas tahun aku
mula-mula berjinak mahu mencari Firdaus semula. Ini pun gara-gara ada
pertandingan gila macam PCB# 4 ini yang menggunakan tema sukan dan permainan.
Aku tidak tahu mahu cari Firdaus di mana. Facebook tak boleh
pakai. Blog juga. Jadi aku guna medium ini sebagai tempat aku mencari semula
si Firdaus itu. Boleh jadi dia membaca cerpen aku tentang kisah ini dan kami
berdua mungkin ada peluang untuk bertemu lagi. Dan kalau sudi, bolehlah kami
bermain batu seremban bersama-sama.
Betullah, persoalan hati ini memang tak boleh dicampur aduk dalam
mana-mana pertandingan. Lebih-lebih lagi dalam seni permainan batu seremban.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan